KLUANG, 15 Jan – Percepatkan Proses……. Rundingan damai bagi Bangsamoro di Selatan Filipina perlu dimuktamadkan segera untuk mengelakkan rantau itu menjadi tempat perlindungan bagi militan Daesh yang melarikan diri dari konflik di Asia Barat kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurut Hishammuddin,  kejayaan kuasa barat menentang Daesh di Syria dan Iraq menyebabkan kumpulan pengganas itu mencari kawasan lain seperti Selatan Filipina dan Thailand untuk meneruskan perjuangan mereka.

Katanya, hasil pemantauan terhadap perkembangan situasi semasa proses itu mendapati kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Moro Islam (MILF) bersetuju Malaysia terus diberikan kepercayaan untuk menerajui Tim Pemantau Antarabangsa (TPA).

“Dengan militan Abu Sayyaf sudah melakukan sumpah setia kepada Daesh, mereka pasti mengalu-alukan kumpulan pengganas itu. Itu sebabnya, adalah penting proses damai Bangsamoro ini dimuktamadkan segera, walau apapun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas merasmikan Sekolah Agama Bukit Paloh di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, Timbalannya, Datuk Seri Johari Baharom turut melakukan lawatan kerja bagi memantau pelaksanaan tugasan TPA yang diketuai oleh Malaysia diikuti Brunei, Indonesia, Jepun dan Kesatuan Eropah yang berakhir semalam.

“Melalui laporan diterima, semua pihak termasuk Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dan MILF menunjukkan komitmen mereka untuk proses damai berkenaan,” katanya. – WD MY