KUALA LUMPUR, 18 Ogos  – Saringan….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pekerja asing diwajibkan menjalani saringan tambahan selain pemeriksaan kesihatan sedia ada mulai 1 Jan tahun depan.

Pemeriksaan kesihatan tambahan perlu dibuat setiap dua tahun iaitu pada tahun keempat, keenam, kelapan dan kesepuluh pekerja asing berada di negara ini selaras dengan tempoh penggajian maksimum selama 10 tahun.

Katanya pemeriksaan sedia ada melibatkan pemeriksaan sebelum berlepas, dalam tempoh sebulan selepas berada di Malaysia, pada akhir tahun pertama dan akhir tahun kedua.

“Kerajaan telah bersetuju untuk menambah kekerapan pemeriksaan kesihatan pekerja asing. Ini bagi mengelak peningkatan kes penyakit berjangkit berlaku di negara ini,” katanya dalam kenyataan media.

Ahmad Zahid petang semalam mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) ke-17.

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju meningkatkan kadar levi secara progresif bermula 2019, selain mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan kompetitif, bagi menggalakkan penggajian pekerja tempatan yang lebih banyak.

 

“Mesyuarat Jawatankuasa turut mengambil maklum bahawa majikan juga lebih cenderung untuk menggajikan pekerja asing kerana kos yang lebih rendah.

Maka kadar levi progresif berdasarkan bilangan pekerja asing yang digajikan akan dilaksanakan pada tahun 2019, selepas sesi libat urus bersama pihak industri dan pihak berkepentingan yang lain dibuat,” katanya.

Beliau berkata setakat 31 Julai tahun ini, bilangan pekerja asing yang sah berkurangan kepada 1.758 juta orang berbanding 2.135 juta pada akhir 2015.

Dalam pada itu, beliau berkata pengambilan pekerja asing telah dipermudahkan oleh kerajaan melalui sistem online iaitu Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) sejak 1 April lepas.

“Berdasarkan inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan, saya berharap tiada lagi masalah yang timbul dalam urusan pengambilan pekerja asing dan penglibatan orang tengah dalam proses ini dapat dibanteras secara holistik,” katanya. – WD MY