SERDANG, 25 Mei – Kaji….┬áKetua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata Kerajaan akan mengkaji penggunaan poligraf sebagai antara mekanisme pencegahan bagi menangani isu rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Ali Hamsa berkata pihaknya bersedia menerima cadangan berhubung penggunaan alat itu sebagai antara inisiatif memperkukuhkan integriti agensi kerajaan.

Katanya, poligraf lazimnya digunakan di peringkat siasatan dan bukan perjawatan, namun ia boleh diberi pertimbangan sebagai usaha berterusan mencegah rasuah.

“Pada peringkat awal, sukar untuk kita mengesan tahap integriti seseorang walaupun sudah melalui pelbagai tapisan.

“Ia biasanya dikesan selepas beberapa tahun berkhidmat,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya dilaksanakan ujian poligraf bagi mencegah dan mengumpul bukti kegiatan salah laku penjawat awam.

Mengikut rekod SPRM, seramai 169 penjawat awam dan 178 orang awam ditahan kerana rasuah dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini. – WD MY