KUALA LUMPUR, 21 Dia – Desak…… Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menuntut pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin memohon maaf dan menarik keluar artikel yang mengaitkannya sebagai perancang kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh 14 hari.

Musa berkata, artikel itu berunsur fitnah dan cuba menjatuhkan maruah serta kredibilitinya sebagai bekas penjawat awam.

“Jika beliau tidak memohon maaf dan menarik semula artikelnya dalam tempoh 14 hari bermula hari ini, saya akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan mahkamah.

“Saya menegaskan tidak pernah terbabit membuat perancangan untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (sebagai Timbalan Perdana Menteri) ketika itu kerana polis hanya bertindak berdasarkan aduan oleh pengadu,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Raja Petra dalam artikel bertajuk ‘Bagaimana Mukhriz akan menjadi Perdana Menteri yang disiarkan di portal itu, mendakwa Musa sebagai anjing peliharaan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perancang kes liwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu. – WD MY