KUALA LUMPUR, 1 MEI – LANTIK…. Pelantikan pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, sebagai Ketua Polis Negara (KPN) bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, perlu dihormati jika ia diputuskan sendiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata Perdana Menteri mempunyai kuasa memilih sesiapa sahaja menggalas tugas sebagai orang nombor satu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Musa berkata, pihak yang tidak menyenangi pilihan itu berkemungkinan bimbang dengan ketegasan Abdul Hamid yang berupaya ‘membersihkan’ integriti pasukan berkenaan.

“Beliau (Abdul Hamid) adalah seorang yang tegas dan sangat mementingkan integriti tinggi, maka saya fikir ini yang menyebabkan sesetengah pihak sama ada dalam PDRM atau luar bimbang.

“Perdana Menteri lebih mengetahui siapa yang wajar menduduki jawatan berkenaan,” katanya.

Musa berkata, isu status kontrak bakal disandang Abdul Hamid jika sebagai KPN bukan perkara besar.

“Itu pilihan Perdana Menteri, sebelum ini tidak pernah timbul isu apabila seseorang yang dilantik sebagai KPN berstatus kontrak.

“Bagi saya, Perdana Menteri semestinya sudah melakukan timbang-tara yang terbaik sebelum memutuskan orang yang benar-benar layak sebagai KPN, selain disokong dan dicadangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” katanya.

Musa berkata, jawatan berkenaan mesti disandang kalangan PDRM sendiri dan bukannya individu dari agensi atau jabatan kerajaan lain mahupun Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Abdul Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mendesak siasatan terus ketika menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam PDRM, pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa republik itu melumpuhkan kegiatan keganasan Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas Daesh. – WD MY