YANGON, 17 SEPT – PBB…. Baki Muslim Rohingya di Myanmar masih berdepan risiko pembunuhan beramai-ramai, kata penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Pasukan penyiasat khas itu juga memberi amaran bahawa penghantaran pulang sejuta pelarian Rohingya di luar negara masih mustahil.

Namun, dalam laporan mengejutkan, pasukan PBB itu berkata, 600,000 etnik Rohingya yang masih di negeri Rakhine, Myanmar masih dalam keadaan teruk.

“Kerajaan Myanmar masih mempunyai niat membunuh baki Rohingya. Negara ini menafikan kesalahan, menghapuskan bukti, enggan menjalankan siasatan berkesan.

“Mereka juga merobohkan, merampas dan membina di atas tanah yang asalnya diduduki etnik Rohingya,” menurut laporan akhir pasukan itu di Myanmar yang akan dibentangkan di Geneva, esok.

Katanya, Rohingya hidup dalam keadaan tidak berperikemanusiaan sambil menambah lebih 40,000 struktur dimusnahkan dalam operasi kejam kerajaan pada 2017.

Misi itu mengulangi gesaan supaya Majlis Keselamatan PBB merujuk Myanmar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atau menubuhkan tribunal seperti bekas Yugoslavia dan Rwanda. – WD MY