BAGAN DATUK, 27 April – BUKAN…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa calon Pakatan Harapan di kawasan Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahaya ialah setiausaha politiknya.

Ahmad Zahid yang merupakan timbalan pengerusi  Barisan Nasional (BN) menjelaskan individu berkenaan hanyalah merupakan pegawai khas kepada seorang daripada setiausaha politiknya.

Bercakap pada sidang media selepas melawat sekitar Waterfront Bagan Datuk, katanya Muslimin  pernah menyuarakan hajatnya untuk bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besar dan tidak menjangka beliau sanggup mengambil keputusan untuk menyertai PKR.

“Saya berharap pendirian beliau itu adalah pendirian individu dan tidak dikaitkan dengan setiausaha politik saya dan saya mengucapkan selamat berjaya kepadanya,” katanya.

Muslimin ialah  bekas setiausaha sulit kanan Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon semasa allahyarham menjadi  Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan merupakan Anggota Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Sungai Besar. – WD MY