KUALA LUMPUR,JULAI 29:MYBRAIN….Sepatutnya harus bersikap adil dan pragmatik dengan meneliti corak kejayaan MyBrain15, sejak program biasiswa untuk sarjana serta doktor falsafah itu diwujudkan untuk menjana sektor pendidikan pada 2008.

Penyelaras Unit Penyelidikan Pendidikan Asas (UPPA) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed, menyifatkan tiga aspek iaitu kesihatan, keselamatan dan pendidikan untuk manfaat rakyat wajar diberi keutamaan oleh kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, penangguhan terhadap program berkaitan aspek berkenaan harus dibuat secara profesional, selain berteraskan kajian bagi membuktikan keberkesanannya tidak diperlekehkan secara membuta tuli.

“Kalau kita boleh berjimat dalam perkara lain, buatlah tetapi hal yang menyentuh mengenai kesihatan, keselamatan dan pendidikan seharusnya diberikan keutamaan kerana ini adalah teras hal ehwal rakyat.

“Oleh itu, keputusan menangguhkan program biasiswa MyBrain15 perlu didahului dengan kajian bagi meneliti aspek kejayaannya dalam melonjak taraf pendidikan dan sosioekonomi penerima.

“Program biasiswa ini memberikan dua kesan iaitu langsung dan tidak langsung, masing-masing kepada kerajaan serta penerima dana MyBrain15.

“Justeru, sebarang keputusan untuk teruskan atau menangguhkannya buat sementara waktu wajar bersandarkan alasan lebih kukuh,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menerusi bual bicara yang disiarkan secara langsung di RTM1 pada 25 Julai lalu, dilaporkan berkata MyBrain15 terpaksa ditangguhkan dengan alasan kerajaan menanggung bebanan hutang terlalu banyak, selain berdepan kekangan aspek kewangan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, menerusi akaun Twitter rasminya, @SyedSaddiq kelmarin menyuarakan persetujuan penangguhan program biasiswa MyBrain15 perlu dikaji semula kerana biasiswa disifatkan pelaburan masa depan kerajaan terhadap golongan muda.

Bajet 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Oktober 2017 memperuntukkan RM90 juta menerusi program MyBrain15 untuk 10,600 penerima melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Abdul Rashid berkata, jalan tengah terbaik yang boleh dilaksanakan kerajaan dalam isu penangguhan MyBrain15 ialah dengan terus menyalurkan peruntukan terhadap program berkenaan pada kadar minimum.

Katanya, tempias ekonomi susulan pelbagai faktor, termasuk bebanan hutang dan perang perdagangan kuasa besar dunia hanya bersifat sementara, justeru langkah mengaktifkan semula program MyBrain15 berupaya dilaksanakan selepas aspek kewangan negara kembali pulih.

“Sekarang, tetapkan supaya peruntukan yang disalurkan menerusi MyBrain15 dibuat pada kadar minimum, tetapi aktifkan semula program ini pada skala besar apabila keutuhan aspek kewangan negara mula menampakkan perkembangan positif,” katanya.-MY WD