KUALA LUMPUR, 30 Ogos – UNTUNG…… Syarikat penyedia perkhidmatan atas talian MYEG Services dalam kenyataan berkata keuntungan sebelum cukai MY EG Services Bhd bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2017, melonjak kepada RM201.48 juta berbanding RM143.23 juta, pada tempoh yang sama setahun lalu.

Pendapatan meningkat kepada RM371.60 juta daripada RM281.73 juta bagi tempoh yang sama, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

MY EG berkata, pendapatan lebih tinggi itu dipacu terutama oleh jumlah transaksi lebih tinggi daripada perkhidmatan permit pekerja asing (FWP) dan program pengambilan pekerja asing (FWR) serta insurans pekerja asing daripada perkhidmatan FWP dan FWR.

“Peningkatan sumbangan pendapatan perkhidmatan berkaitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di samping perkhidmatan berkaitan jualan kenderaan motor turut menyumbang kepada perolehan lebih tinggi itu.

“Bagaimanapun, pendapatan telah diimbangi oleh antara lain, perbelanjaan berkaitan pekerja dan perbelanjaan operasi lebih tinggi untuk menyokong pertumbuhan dalam FWP dan perkhidmatan berkaitan, selain kos faedah lebih tinggi bagi pinjaman berjangka untuk membiayai pejabat yang baharu dibeli MY EG,” menurut syarikat itu. – WD MY