PUTRAJAYA, 26 Sept – KONVENSYEN…… Pusat Konvensyen dan Expo Malaysia (MyExpo) yang bakal digabungkan dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini akan menjadi pusat mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) terbesar di Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata MyExpo yang bakal beroperasi pada 2021 akan menjadi projek ikonik, sekali gus menaik taraf Putrajaya sebagai destinasi yang ideal untuk perniagaan dan aktiviti pelancongan, dalam mahu pun luar negara.

“MyExpo bukan sekadar menjadi pusat pameran terbesar, malah ia juga akan menjadi pusat pameran yang dilengkapi dengan fasiliti berteknologi tinggi dan dapat menampung seramai 60,000 orang dalam satu masa.

“MyExpo menyasarkan pendapatan tahunan keseluruhan sebanyak RM500 juta, jadi tidak menghairankan ia mampu menarik pempamer dari seluruh dunia.

“Justeru, apabila MyExpo dibuka pada 2021 kelak, ia tidak hanya akan meningkatkan jumlah pengunjung ke negara ini, tetapi turut mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis pecah tanah MyExpo, di sini, hari ini.

Yang turut sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan dan Presiden Perbadanan Putrajaya merangkap Pengerusi Pulse Group, Datuk Seri Hasim Ismail.

MyExpo dibangunkan di kawasan seluas 13.37 hektar di Presint 5, di sini, bersebelahan PICC, dengan fasa pertama pembinaan dijangka siap sekitar 2020.

Antara kemudahan yang bakal ditawarkan di MyExpo adalah dewan pameran plenari yang boleh memuatkan 5,000 orang, lapan buah dewan pameran yang boleh memuatkan 3,000 gerai pempamer, 12 dewan bankuet, empat dewan seminar dan dua dewan persidangan serta sembilan bilik mesyuarat.

Selain itu, MyExpo juga mampu menampung lebih 2,500 ruang parki,r termasuk bas pelancongan.

Terdapat dua pelan fasa projek MyExpo yang merangkumi Fasa 1A, pusat pameran lima tingkat, 23 tingkat bangunan termasuklah sebuah hotel bertaraf empat bintang dengan 300 buah bilik (15 tingkat) dan helipad.

Fasa 1B pula membabitkan pembinaan sebuah hotel bertaraf lima bintang, manakala Fasa 1C, MyExpo City yang juga sebuah `boutique mall’, taman tema tertutup dan juga pangsapuri akan dibina.

MyExpo dijangka mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan apabila ia siap kelak. – WD MY