PUTRAJAYA, 16 Ogos – LANCAR….  MyPay, salah satu platform perkhidmatan digital kerajaan, dilancarkan bagi menyediakan kemudahan untuk para pengguna mendapatkan maklumat penting dan membuat pembayaran wajib kepada pelbagai agensi kerajaan.

MyPay dibangunkan oleh syarikat berteknologi maju tempatan Dapat Vista (M) Sdn Bhd (Dapat Vista), yang juga unit Heitech Padu Bhd. Perkhidmatan itu dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pengarah Eksekutif Dapat Vista, Sabri Rahman berkata MyPay menghubungkan pengguna dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI).

“Pengguna boleh guna MyPay semak baki pinjaman PTPTN, mendapatkan maklumat saman trafik dan cukai yang tertunggak seterusnya membuat bayaran dengan hanya melalui satu platform,” katanya pada majlis pelancaran MyPay.

Dalam masa yang sama, Sabri berkata MyPay memberikan agensi kerajaan satu lagi platform atau pilihan pemungutan ke arah penambahbaikan proses pemungutan.

Beliau berkata keselamatan pengguna MyPay dijamin dengan proses Elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (eKYC) yang diguna secara meluas untuk pengesahan pengguna dan verifikasi.

“Nombor MyKad bersama dengan nombor telefon dan e-mel membentuk asas untuk memastikan keselamatan pengguna. Proses ini memastikan setiap individu hanya dapat mendaftar satu akaun MyPay tanpa duplikasi dan mengurangkan kecurian identiti,” katanya.

Beliau berkata pihaknya berhasrat untuk MyPay mengembangkan ruang pembayaran di luar agensi kerajaan seperti bil utiliti dan bil telefon, kad kredit, keahlian kelab dan obligasi komersial seterusnya menjadi platform pilihan pengguna untuk membuat pembayaran pada masa yang dijadualkan setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyPay, Nick Liew berkata pihaknya menyasarkan 300,000 pengguna akan menggunakan kemudahan MyPay dalam tempoh jangka masa pendek manakala sasaran utamanya adalah sehingga 30 peratus pengguna MyPay daripada keseluruhan jumlah penduduk di Malaysia.

“MyPay memberi segala maklumat berkaitan pengguna kita secara percuma manakala setiap transaksi pembayaran akan dikenakan caj yang berbeza bergantung kepada agensi tersebut, sebagai contoh PTPTN kita mengenakan caj 50 sen manakala untuk saman adalah sebanyak RM1,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari, www.mypay.com.my