MyPPP Bakal Berbincang Dengan MIC Kata M Kayveas

0
56

CAMERON HIGHLANDS, 8 Okt – BINCANG……  Tan Sri M. Kayveas berkata MyPPP bersedia mengadakan perbincangan dengan MIC berhubung pertukaran kerusi pada Pilihan Raya Umum K-14 (PRU14) akan datang.

Kayveas berkata sebagai parti yang mementingkan perpaduan dan semangat kerjasama dalam Barisan Nasional (BN), perbincangan secara terperinci dengan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam mengenai perkara berkenaan perlu dilakukan.

“Formula kongsi kuasa dalam BN perlu dilaksanakan bagi memastikan semua parti komponen BN mencapai kata sepakat untuk penentuan kerusi yang bakal ditandingi dalam PRU14, perlukan situasi menang-menang.

“Ini penting bagi memastikan BN menang dengan majoriti lebih besar pada PRU14…itu yang lebih utama ketika ini,” katanya kepada media petang semalam.

 

Kayveas yang juga Penasihat Kementerian Pengangkutan berkata bagaimanapun keputusan mengenai kerusi yang bakal ditandingi oleh calon BN terletak sepenuhnya kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kayveas telah beberapa kali memberi bayangan untuk bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands, yang merupakan tempat asalnya, dan kini disandang bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU13. – WD MY