KUALA LUMPUR, 9 Mac – Seri Meraga Properties Sdn Bhd hari ini
menafikan dakwaan bekas pekerja syarikat itu kononnya tidak dibayar gaji
sehingga terbabit dalam kejadian mencuri di kediaman pengerusinya.

Pengarah Urusan syarikat itu Zafrullah Md Noor berkata bekas
pekerjanya itu telah dibayar gaji sepanjang tiga bulan dia berkhidmat iaitu
pada Oktober, November dan Disember tahun lepas.

Beliau yang hadir bagi memberi penjelasan berhubung perkara itu,
turut membawa salinan borang permohonan kerja, surat tawaran kerja, notis
penamatan kerja dan slip gaji bekas pekerjanya itu.

“Untuk pengetahuan anda, orang yang didakwa dan disabitkan kesalahan, Mohd
Effendy Jainudin ialah pekerja kami sehingga 8 April 2016 selepas dia
diberhentikan kerana tidak hadir ke pejabat lebih daripada dua hari.

“Laporan yang menyebut Mohd Effendy dalam rayuan hukuman ringan di mahkamah
memberi alasan terdesak mencuri kerana bekas majikannya tidak membayar gajinya
selama tiga bulan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Zafrullah berkata syarikat itu mematuhi sepenuhnya semua peraturan berhubung
kontrak pekerjaan dengan Mohd Effendy termasuk pembayaran gaji dan bonus
sehingga tarikh notis penamatan kerjanya.

Pada 26 Feb lepas, Mohd Effendy dilaporkan dijatuhi hukuman penjara enam
hari dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati
bersalah mencuri komputer riba pengerusi syarikat itu yang juga bekas Menteri
Wilayah Persekutuan Tan Sri Zulhasnan Rafique. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY