MADRID, 5 Dis – SINGKIR….. Naib Presiden disingkir Catalonia, Oriol Junqueras dan tiga lagi pemimpin pemisah akan kekal di penjara sementara menunggu siasatan berhubung peranan mereka dalam cubaan pemisahan.

Mahkamah di sini berkata, enam lagi bekas menteri yang turut direman bulan lalu akan dibenarkan ikat jamin sebanyak 100,000 euro (RM481,495) setiap seorang ketika siasatan terhadap dakwaan pemberontakan, hasutan dan salah guna dana awam diteruskan.

Selain Junqueras, tiga lagi pemimpin pemisah, Joaquim Forn, bertanggungjawab menguruskan hal ehwal dalaman Catalonia dan pemimpin dua persatuan pro-kemerdekaan akan kekal di penjara ketika kempen rasmi pilihan raya wilayah itu bermula.

Keputusan dibuat ketika pemimpin disingkir Catalonia, Carles Puigdemont berdepan perbicaraan ekstradisi di Belgium di mana beliau melarikan diri selepas Parlimen wilayah itu mengisytiharkan kemerdekaan 27 Oktober lalu.

Sepanyol menuntut supaya Puigdemont dan empat lagi bekas menteri yang melarikan diri bersamanya dihantar pulang untuk berdepan dakwaan berhubung peranan mereka dalam cubaan pemisahan.

Seorang hakim Belgium akan membuat keputusan 14 Disember ini untuk menerima waran tangkap Eropah dan menghantar Puigdemont kembali ke Sepanyol atas dakwaan hasutan, kata peguamnya, Christophe Marchand hari ini. – WD MY