ROMPIN, 30 April – Kerajaan telah meluluskan peruntukan lebih
RM300 juta bagi projek menaik taraf fasa pertama Laluan Persekutuan 12 (FR 12)
dari Gambang, Pahang ke Paloh Hinai, Johor, yang akan dilaksanakan
selewat-lewatnya September ini.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof laluan ini akan
diperbesarkan daripada dua lorong kepada empat lorong dengan proses tender telah
dimuktamadkan.

“Sekarang hanya tinggal rundingan harga dengan kontraktor. Ia mengambil
masa agak lama berikutan harga tender yang ditawarkan lebih daripada harga
siling ketika tender dibuka,” katanya dalam lawatan sehari di sini hari ini,
termasuk melawat Pusat Daerah Mengundi Pianggu di Kampung Setajam.

Fadillah berkata projek fasa pertama dijangka mengambil masa kira-kira tiga
tahun untuk menyiapkannya.

Kementerian itu juga telah mengemukakan permohonan fasa kedua projek
tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-11, iaitu tambahan 100 kilometer jarak
laluan untuk dinaik taraf sehingga Segamat, Johor, katanya.

Fadillah berkata anggaran awal bagi keseluruhan projek berkenaan, termasuk
fasa pertama dan kedua adalah RM1.2 bilion.

Beliau turut menolak dakwaan pembangkang bahawa kerajaan tidak memperdulikan
masyarakat Rompin, malah berkata kerajaan persekutuan telah memperuntukkan
sebanyak RM10 juta kepada jurutera daerah Rompin awal tahun ini bagi melakukan
penambahbaikan dan penyelenggaraan jalan-jalan kawasan Parlimen Rompin, termasuk
jalan mendap.

Beliau berkata bagaimananapun berkata kerja-kerja pembaikan jalan mengambil
masa yang agak lama kerana kementerian harus mengenal pasti tanah yang perlu
diambil, selain membuat penyelidikan mengenai jajaran jalan serta mengambilkira
kesannya ke atas ekonomi, alam sekitar dan sosial setempat.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY