KUALA LUMPUR, 2 Dis – PM Adil Kepada Semua….Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak
tidak pernah melakukan pembahagian kompartmen sosial, sebaliknya sentiasa
membela nasib semua kaum, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Beliau berkata sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, Najib, selaku
perdana menteri, sentiasa mencari jalan untuk mewujudkan kesatuan dalam kalangan
rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri menyifatkan tindakan
segelintir pihak yang melabelkan ucapan dasar presiden UMNO pada Perhimpunan
Agung UMNO 2016 semalam sebagai membahagikan politik negara secara perkauman,
adalah satu pandangan antagonis.

“Ia hanya analisis politik bersandarkan kepada kekecewaan. Saya fikir eloklah muhasabah diri,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media bersama-sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),
hari ini.

Ahmad Zahid yang juga menjalankan tugas timbalan presiden mengulas kenyataan
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah yang
mendakwa ucapan Najib mungkin boleh mengundang bencana perkauman di negara ini.

Mengulas perbahasan ucapan dasar presiden, beliau berkata kebanyakan
isu yang dilontarkan para jurucakap menyentuh mengenai aspek kesetiaan kepada
pemimpin selain kesatuan dalam kalangan anggota parti.

Ahmad Zahid berkata turut mendapat perhatian perwakilan adalah kesiapsiagaan
parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) selain cabaran untuk
menghadapi pelbagai fitnah dan tohmahan.
“Semangat jurucakap tahun ini berbeza dengan tahun sebelumnya, walaupun
bergurau senda tapi mesej yang disampaikan padat dengan pesanan untuk
kebersamaan dalam satu wadah, satu acuan,” katanya. – WD MY