KUALA LUMPUR, 27 Jun – Penuhkan Dengan Amal Ibadat…….Datuk Seri Najib Razak mengajak umat Islam menghidupkan malam terakhir Ramadan dengan beribadah dan berdoa agar dipertemukan dengan Lailatul Qadar.

Najib berkata, di penghujung Ramadan atau lebih tepat lagi pada 10 malam terakhir, terdapat satu malam dinamakan Lailatul Qadar seperti dinyatakan dalam surah al-Qadar.

Katanya, surah al-Qadr menyatakan Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada 1,000 bulan dan ini bermakna pada malam itu, pahala amal ibadah bersamaan dengan pahala jika beramal dan beribadah untuk 1,000 bulan.

“Masya-Allah, sesungguhnya amat beruntunglah umat Muhammad kerana dikurniakan kelebihan ini oleh Allah SWT, kelebihan yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana umat lain sebelumnya.

“Oleh itu, marilah kita menggunakan peluang rahmat dan kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada kita, sama-sama kita hidupkan malam terakhir Ramadan ini dengan ibadah dan berterusan berdoa, semoga kita dipertemukan dengan Lailatul Qadar, Insya-Allah,” katanya.

Perdana Menteri berkata, masih belum terlambat untuk umat Islam beramal dan beribadah untuk mengumpul pahala serta rahmat Allah SWT yang berlipat ganda di bulan penuh keberkatan ini.

“Di dalam hadis daripada Aishah: “Rasulullah SAW apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, baginda menghidupkan malam dengan melakukan Qiam (solat) dan membantu ahli keluarga merebut kebaikan, mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan),” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY