KUALA LUMPUR, FEB 4: SUKAR…  Bekas perdana menteri Najib Razak mengakui beliau sedih dengan apa yang diperlakukan terhadapnya dan keluarga selepas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke- 14 lalu.

Mengakui tidak menjangkakan BN akan tewas, Najib berkata beliau dan keluarga terpaksa melalui detik sukar.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di laman sosial Facebook bersama pendakwah bebas Ahmad Husam Baderudin, hari ini.

“Memang saya berasa amat sedih dengan ada yang telah menimpa saya selepas kekalahan. Pertama, saya tidak menduga akan kalah kerana kita buat banyak kebaikan untuk negara, untuk  , tapi malangnya seperti mana ustaz kata semuanya telah tertutup dengan fitnah.

“Bila saya dah kalah memanglah saya dengan keluarga melalui ujian yang cukup berat, tetapi apa yang menyebabkan kami tenang kerana kami percaya pada kebenaran.

“Mudah-mudahan…kami berdoa kepada Allah SWT moga-moga kebanaran akhirnya muncul juga,” katanya.

Ahmad Husam yang juga anak kepada bekas mufti Kedah mengunjungi Najib bagi memohon maaf terhadap kesilapannya berkata beliau telah mempercayai fitnah terhadap bekas presiden Umno itu. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan fitnah berkenaan.

Sementara itu, Najib berkata beliau tidak menjangkakan masih menerima sokongan padu rakyat selepas tidak lagi menjadi perdana menteri.

Malah katanya fenomena itu tidak dirasainya ketika beliau masih lagi berkuasa di Putrajaya sebagai perdana menteri.

“Saya tak jangka sama sekali, ia berlaku dalam tempoh dua, tiga bulan kebelakangan ini, sambutan rakyat cukup luar biasa. Masa saya jadi perdana menteri tidak terima langsung.

“Hari ini mereka tak sabar-sabar nak selfi (swafoto), nak berjabat tangan, ada yang kata saya ada satu permintaan nak peluk Datuk.

“Jadi macam luar biasa, dan fenomena “bossku”, “malu apa bossku” dia bukan saja meletup ustaz, ia jadi meletup-letup, ia jadi fenomena,” kata Najib.

Pada pertemuan santai itu, perdana menteri memaklumkan yang beliau memaafkan rakyat yang membencinya kerana termakan fitnah. Namun beliau tidak menjelaskan sumber dan bentuk fitnah berkenaan secara lanjut.-MY WD