LANGKAWI, FEB 17 – AS1M…………Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) merupakan satu peruntukan khas bagi kaum India yang berada di bawah kategori B40 dimana ianya merupakan pelaburan saham yang disokong oleh pihak kerajaan. Perlancaran AS1M akan dilakukan pada akhir bulan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata sejumlah RM500 juta akan disediakan bagi tujuan itu.

“Ini saya akan lancar akhir bulan ini bersama-sama Presiden MIC (Datuk Seri S. Subramaniam)… kita hadkan 5,000 (unit) saham setiap individu supaya masyarakat India ini dapat pembelaan sewajarnya,” katanya semasa berucap pada program teh tarik santai bersama kira-kira 1,000 masyarakat India di sini, hari ini.

Pada perbentangan Bajet 2018, 27 Okt tahub lalu, perdana menteri telah mengumumkna beberapa inisiatif baharu bagi kaum India terutamanya dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat India.

Antara inisiatif tersebut adalah pengagihan khas sejumlah 1.5 bilion unit tambahan AS1M, yang dihadkan kepada 30,000 unit setiap pelabur yang sudah mula diagihkan pada 29 Jan lepas.

Selain itu, RM500 juta diperuntukkan bagi tempoh lima tahun di bawah skim pinjaman pelaburan khas yang ditawarkan kepada 100,000 isi rumah golongan B40 masyarakat India.

Perdana Menteri turut memberitahu, ini merupakan sebahagian dari program yang direncanakan dan banyak lagi program lain yang sedang dirancang untuk menambah baik kualiti hidup masyarakat India di negara ini. – MY WD