JOHOR BAHRU, 5 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor sempena lawatan kerja beliau ke negeri ini pada Ahad ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan akan melancarkan pelan itu dan Rancangan Pembangunan Komprehensif Ke-2 Iskandar Malaysia (CDPii) di Stadium Educity, Iskandar Puteri dekat sini.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Johor hari ini, pelan pertumbuhan itu merangkumi visi strategik dan komprehensif pembangunan di Johor bagi membangunkan setiap daerah di negeri itu mengikut lapangan tertentu untuk lima tahun akan datang.

CDPii pula lebih menumpukan kepada aspek pengurusan sosial dan alam sekitar serta prospek pembangunan ditawarkan di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.

Sebelum pelancaran itu, Najib dijadual menghadiri perasmian projek pembangunan hartanah Forest City di Gelang Patah oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Projek hartanah itu bakal mewujudkan lebih 220,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan menjelang 2035 menerusi penglibatan dalam lapan sektor pertumbuhan industri termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan.

Menurut kenyataan itu, projek berkenaan yang bercirikan konsep mesra alam, akan dibina di empat pulau buatan manusia yang seluas lebih 1,400 hektar.

Ia antara projek pembangunan hartanah terbesar di Asia dari aspek jumlah unit hartanah yang akan dibangunkan dalam sembilan fasa bagi tempoh 20 tahun.

Najib juga dijadual merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor di Galleria di sini.

UTC itu adalah yang kelapan dirasmikan perdana menteri selepas merasmikan dua pusat sama di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Melaka, Perak, Pahang, Kedah dan Sabah sebelum ini. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY