SEPANG, MAC 2 – Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia) tidak akan mencapai status syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia tanpa sokongan dasar kerajaan dan kepemimpinan yang hebat, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau telah memberikan gelaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak “Bapa Perjalanan Udara Tambang Rendah.”

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia dan CEO Kumpulan Bersama AirAsia X,Tan Sri Tony Fernandes, memberikan gelaran itu kepada Najib berikutan sokongan berterus beliau terhadap AirAsia dan industri penerbangan Malaysia.

Beliau turut berkongsi pelbagai kisah kejayaan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, di mana Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK 5.9 peratus, pengangguran rendah pada 3.3 peratus, 2.26 juta pekerjaan diwujudkan sejak 2009, yang mana sejuta daripadanya adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Inilah Malaysia yang kita mahukan. Malaysia yang berpendapatan tinggi, berkemahiran tinggi menerajui ASEAN dan melangkaui abad ke-21, serta beraspirasi menjadi 20 negara utama menjelang 2050 sejajar dengan Transformasi Nasional 50 (TN50).

“Mengapa kita tidak boleh mencapainya? Kita mempunyai wawasan, kita mempunyai bakat, kita mempunyai kepimpinan yang betul untuk memacu negara dan ekonomi. Kita kini menyaksikan ringgit berada pada 3.91 berbanding dolar AS dan kita gembira dengannya.

“Datuk Seri pasti gembira mengetahui bahawa pagi tadi (semalam) kami menjual syarikat pajakan kami bernilai AS$1.18 bilion, dan wang yang dibawa masuk ke dalam negara itu akan merangsang nilai ringgit supaya ia mencerminkan kekuatan dan daya tahan sebenar ekonomi Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran Ibu Pejabat Korporat AirAsia RedQ. – MY WD