LUMPUR, FEB 16 – KECERIAAN….sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini dapat membawa tuah kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal diadakan tidak lama lagi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya situasi semasa negara yang sangat memberangsangkan juga dilihat membawa keceriaan kepada rakyat yang terus menunjukkan keyakinan kepada kerajaan.

Sambutan Tahun Baharu Cina ini dihadiri oleh tetamu dari pelbagai bangsa dan pelancong asing. Kehadiran mereka dihidangkan dengan pelbagai juadah dan persembahan kebudayaan, nyanyian dan seni mempertahankan diri.

Najib berkata, “Saya lihat susana hari ini, pada tahun ini meriah barangkali kerana rasa keceriaan rakyat dalam ekonomi berkembang 5.9 peratus tahun lalu, saham pun sudah naik, ringgit pun lebih kukuh, keyakinan terhadap masa depan negara kita menyerlah.

“Maka sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini saya kira disambut dalam suasana ceria dan sangat meriah… mudah-mudahan kita doalah tahun baharu lunar ini memberi sesuatu keputusan yang sangat memberangsangkan kepada kerajaan,” katanya semasa ditemubual TV3 pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA hari ini.

Majlis ini turut dihadiri oleh isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu, ketibaan Najib, Rosmah dan Ahmad Zahid ke majlis sambutan itu yang diadakan di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini disambut barisan kepimpinan tertinggi MCA diketuai Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai, sambil diiringi persembahan tarian singa.

Datuk Seri Najib, bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid meluangkan masa hampir sejam di majlis itu yang turut dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan Presiden myPPP Tan Sri M.Kayveas selain beberapa menteri kabinet. – MY WD