JAKARTA, 11 Okt- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Jakarta hari
ini untuk lawatan kerja dua hari.

Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang
Halim Perdana Kusuma di sini pada pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan dan
disambut oleh Menteri Perindustrian Indonesia Saleh Husin serta Timbalan Duta
Besar Malaysia di Indonesia Roseli Abdul, pegawai-pegawai kerajaan serta
anggota-anggota rombongan.

Antara anggota rombongan lawatan kerja itu ialah Menteri Perusahaan
Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Asli
dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim serta pegawai kanan kerajaan.

Rombongan Perdana Menteri itu kemudiannya terus berlepas ke Istana Presiden
di Bogor untuk bertemu Presiden Joko Widodo dan mengadakan rundingan dua hala
untuk mempertingkatkan kerjasama membangunkan industri sawit.

Kedua-dua pemimpin itu juga akan membincangkan isu-isu berkaitan kerjasama
dalam bidang alam sekitar. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY