LIMA (PERU), 20 Nov – Cakap Tak Serupa Bikin….. Penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perhimpunan Bersih 5 semalam, membuktikan sikapnya yang ‘cakap tak serupa bikin’.

Ia juga menunjukkan beliau akan melakukan perkara yang berbeza dengan tindakannya ketika menjadi Perdana Menteri, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri ditanya mengenai kehadiran Dr Mahathir dalam perhimpunan Bersih 5 yang secara keseluruhannya tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan penganjur.

Najib berada di Peru sejak semalam untuk menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Perdana Menteri berkata, apa yang disuarakan Dr Mahathir mengenai kedudukan ekonomi negara adalah cakap-cakap politik tanpa disokong fakta dan agensi penarafan serta badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Dunia (IMF) atau Bank Dunia.

Jika ada krisis ekonomi, sudah tentu agensi penarafan akan turunkan rating.

“IMF dan Bank Dunia akan tegur dan bincang langkah perlu dilakukan oleh kerajaan,” katanya kepada media Malaysia di sini, sebentar tadi.

Beliau menegaskan, ketiadaan tindakan oleh agensi antarabangsa itu membuktikan urus tadbir negara berjalan dengan baik.

Mengenai sambutan hambar Bersih 5, Najib berkata, rakyat sudah bosan untuk menyertainya kerana yakin ia tidak memberikan faedah kepada negara.

“Kalau nak tumbangkan kerajaan, ini bukan cara yang sah. Kita sebagai rakyat mesti junjung undang-undang.

“Jika tidak, negara akan jadi huru-hara dan rakyat menderita,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus fokus kepada pentadbiran bagi memastikan setiap program yang dirancang sampai kepada rakyat.

“Tiada sebab untuk kita rasa cemas, malah rating (penarafan) masih dalam kategori A,” katanya. – WD MY