PEKAN, 1 Feb – Redah……  Biarpun terpaksa menaiki bot, mengharung sungai
dan melalui jalan terputus hubungan, namun Perdana Menteri Seri Najib Tun Razak
tetap kental menghadapinya demi melawat mangsa banjir di beberapa Pusat
Pemindahan Sementara (PPS) di Pekan.

Sebaik tiba di Jambatan Sungai Kinchir pada pukul 3 petang ini, Najib dan
isteri Datin Seri Rosmah Mansor menaiki bot jenis amphibious melalui Jalan
Salong yang ditenggelami air sedalam satu meter sebelum ‘dijemput’ dengan bas
sekolah untuk ke PPS Sekolah Kebangsaan Kinchir, Paloh Hinai.

Najib dan Rosmah kemudiannya bertanya khabar dan berkongsi cerita dengan
warga emas yang ditempatkan di pusat pemindahan itu yang menjadi ‘rumah
sementara’ kepada 53 mangsa daripada 15 keluarga dari sekitar Kampung Salong.

Selesai lawatan di situ, Najib dan isteri kemudiannya menaiki bot penyelamat
Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang meredah arus Sungai Pahang sejauh 20
kilometer yang memakan masa lebih 45 minit untuk ke PPS Tanjung Lepar.
PPS itu menempatkan 20 mangsa daripada enam keluarga.

Selain bertanya khabar, Najib dan Rosmah turut sama menikmati ubi kayu dan
keledek rebus serta pengat pisang yang menjadi juadah minum petang penghuni PPS
itu. – WD MY