KUALA LUMPUR, 11 Sept -DEDAH…. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan beberapa dokumen membabitkan perjanjian pembiayaan kewangan daripada bekas Raja Arab Saudi yang sudah mangkat, Raja Abdullah Abdulaziz bagi mengesahkan bahawa dana RM2.6 bilion dimilikinya adalah derma dari keluarga Diraja Arab Saudi.

Menerusi akaun Facebooknya hari ini, Najib mendedahkan tiga dokumen daripada Almarhum Raja Abdullah, salah satunya tertera perkataan ‘Recognition of Contribution to the Islamic World’ (pengiktirafan sumbangan kepada dunia Islam) bertarikh 1 Februari 2011.

Dua lagi dokumen adalah penyata transaksi kewangan yang diterima bertarikh 24 Februari 2011 dan 25 November tahun yang sama.

Najib dalam kenyataannya menerusi Facebook berkata, pendedahan dibuat bagi membersihkan namanya daripada pelbagai tuduhan dan fitnah.

Katanya, beliau bersama peguam mengambil masa agak lama bagi mendapatkan semula penyata daripada bank dan dokumen berkenaan hanya bagi sumbangan diterima pada 2011.

“Pada 1 Februari 2011, Putera Abdulaziz Al-Saud menulis kepada saya, memberitahu bahawa Arab Saudi akan menyediakan US$100 juta (RM415 juta) kepada saya bagi tahun 2011.

“Dokumen pemindahan wang SWIFT bagi tahun 2011 menunjukkan yang US$20 juta dipindahkan daripada akaun Putera Faisal Turkey Al Saud dan US$80 juta dipindahkan daripada akaun Kementerian Kewangan Arab Saudi kepada saya,” katanya.

Najib berkata, surat itu adalah surat pertama daripada beberapa surat dihantar putera berkenaan kepadanya dan disusuli beberapa sumbangan untuk beberapa tahun kemudiannya.

Katanya, pemberian dana itu dibuat selepas berlakunya ‘Arab Spring’ pada lewat 2010 membabitkan beberapa negara Islam di Timur Tengah, di Afrika serta negara sekutu Arab Saudi.

“Almarhum Raja Abdullah sangat bimbang ketika itu dan bertindak membiayai pemimpin dan kerajaan negara Islam dengan sejumlah wang yang banyak bagi mengekalkan kestabilan.

“Pada masa itu, harga minyak paling tinggi dan Arab Saudi memperoleh pendapatan yang banyak hasil darinya.

“Baginda juga mempunyai kebimbangan yang sama selepas mendapat tahu kemungkinan berlaku Malaysia Spring pada ketika itu kerana Malaysia juga negara Islam biarpun bukan berada di Timur Tengah atau Afrika.

“Lantaran kebimbangan dan hubungan akrab kami, pada awal 2011, baginda berjanji untuk turut menyediakan dana kepada saya dan parti bagi kegunaan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, selain bantuan kewangan, Raja Abdullah juga turut memberikan beberapa hadiah lain seperti Kain Kiswah Kaabah serta tambahan kuota haji sebanyak 20,000 tempat kepada jemaah dari Malaysia dan meminta agar perkara itu tidak diuar-uarkan.

“Terdapat beberapa orang saksi pada masa itu ketika janji ini disampaikan.

“Saya kemudian mendapati jumlah pembiayaan yang dijanjikan untuk beberapa tahun itu adalah lebih rendah daripada negara jiran Arab Saudi yang terjejas teruk daripada Arab Spring,” katanya.

Menurutnya lagi, salinan surat berkenaan turut dilampirkan bersama dana yang dipindahkan ke akaun banknya di Ambank bagi tempoh beberapa tahun dan pihak bank mahupun Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri tidak pernah mempersoal atau menyatakan kebimbangan terhadap sumbangan itu.

“Kementerian Luar Arab Saudi sudah dua kali mengesahkan secara terbuka bahawa kerajaan mereka memberi sumbangan kepada saya tanpa sebarang syarat terhadapnya.

“Kira-kira dua bulan lalu, Tun Mahathir kecewa apabila Arab Saudi enggan menafikan bahawa RM2.6 bilion adalah sumbangan kepada saya.

“Sebulan kemudian, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menutup Pusat Keamanan Raja Salman di Kuala Lumpur,” katanya.

Najib turut memaklumkan akan menjelaskan dengan terperinci sambil menunjukkan bukti mengenai sumbangan diterimanya bagi tahun selepas 2011 termasuk isu RM2.6 bilion menerusi media dan Facebook. – WD MY