SANDAKAN, 3 Mac – Dedahkan…Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan seorang bekas pemimpin UMNO dari negeri ini pernah datang berjumpanya dan meminta untuk menjadi Ketua Menteri Sabah.

Najib bagaimanapun tidak menerima permintaan itu kerana baginya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditubuhkan bukan soal kepentingan peribadi, sebaliknya membawa rakyat Malaysia lebih maju.

“Apabila tak dapat jadi Ketua Menteri, hari ini kata semua tak betul… itu saja (puncanya), bukan soal dasar atau BN tak baik.

“Pada saya, cita-cita peribadi tak boleh atasi perjuangan parti politik. Mana boleh tubuh parti politik berdasarkan kepada cita-cita peribadi.

Najib yang juga Presiden UMNO bagaimanapun tidak menamakan bekas pemimpin berkenaan namun ia dipercayai merujuk kepada bekas Naib Presiden UMNO yang kini mengetuai Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kita tubuh parti politik atas perjuangan suci, murni, penuh idealisme,” katanya ketika berucap merasmikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi di Kampung Lupak Meluas, Batu Sapi di sini,hari ini.

Najib meminta rakyat tidak mendengar cakap pembangkang yang hanya menghasut rakyat supaya hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

“Objektif pembangkang cuma dua iaitu hasut rakyat dan kelirukan rakyat. Kalau tak dapat hasut, sekurang-kurangnya kelirukan… itu mantera pembangkang,” katanya. – WD MY