KUALA LUMPUR, 21 Feb – Perlu…. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu syarikat besar yang tersenarai di Bursa Malaysia supaya dapat mengambil bahagian dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

Najib berkata, beliau akan memastikan supaya semua syarikat berkenaan menyertai program itu.

“Kalau tak ambil bahagian dalam skim ini, jangan harap kontrak daripada kerajaan,” katanya berucap merasmikan program temu duga terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat zon tengah 2017 dan pelancaran buku dan sistem SL1M di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Pada sidang media kemudian, Perdana Menteri berkata beliau akan mengarahkan Perbendaharaan menjadikan perkara itu sebagai sebahagian daripada pra syarat untuk mendapat kontrak kerajaan.

“Jika mereka tidak mengambil bahagian dalam SL1M, maka peluang mereka adalah ‘slim’ (tipis) untuk mendapatkan kontrak kerajaan.

“Mereka perlu menyumbang semula kepada masyarakat. Sumbangan seperti ini adalah sesuatu yang amat digalakkan,” katanya.

Program temu duga terbuka SL1M berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan dikelolakan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

SL1M yang dilancarkan pada 1 Jun 2011 adalah program kebolehpasaran bertujuan membantu graduan meningkatkan tahap keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya. – WD MY