KUALA LUMPUR, MAC 25 – POLIS… Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata polis bukan ‘pak turut’ kerajaan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada pasukan itu.

Najib berkata beliau kesal apabila ada sesetengah pihak cuba mewujudkan persepsi negatif yang kononnya polis hanya makan gaji buta tanpa melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

“Saya kesal dengan tuduhan melulu yang dibuat oleh sesetengah pihak, ada yang lahirkan persepsi bahawa anggota polis adalah kononnya pak turut kerajaan dan makan gaji buta.

“Sedangkan selama 221 tahun PDRM (Polis Diraja Malaysia) setia berkorban nyawa demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara tanpa mengira siapa yang memerintah,” katanya sewaktu berucap di Sambutan Hari Polis ke 211, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.

Tanpa memetik nama secara khusus, Najib turut mengkritik tindakan bekas pemimpin berusia 93 tahun yang menuduh polis terbabit secara langsung dalam pemecatan timbalan perdana menteri pada 1998.

“Ini semua tuduhan tidak berasas, terbaru ada bekas pemimpin yang usianya 93 tahun, tuduh katakan polis bersalah mendorong pecat timbalan perdana menteri pada 1998,” katanya.

Najib turut menyelar tindakan anak lelaki pemimpin terbabit yang mengeluarkan kenyataan akan memecat pegawai kerajaan sekiranya Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

“Ini termasuk kenyataan anak kesayangan beliau yang mahu pecat pegawai kerajaan, sebaliknya kerajaan hari ini hargai sumbangan polis dan kebajikannya akan terus diperjuangkan,” katanya.

Pada majlis sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, turut melahirkan rasa kesalnya terhadap tindakan sesetengah pihak yang cuba membangkitkan kebencian masyarakat terhadap polis.

“Berita palsu di media sosial yang cuba membangkitkan sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat terhadap polis memburukkan lagi krisis imej PDRM.

“Akibatnya kita menjadi mangsa hukuman ‘court of public opinion’ apabila persepsi masyarakat tidak menyebelahi kita walaupun hanya sekelumit petualang di dalam pasukan yang lakukan onar,” katanya. – MY WD