KUALA LUMPUR, NOVEMBER 3: PTPTN….Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersendakan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu melaksanakan potongan secara automatik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada yang bergaji RM1,000 ke atas.

Najib berkata, tindakan itu akan menyebabkan semua peminjam PTPTN yang sudah bekerja perlu membayar hutang pinjaman mereka.

“Nampaknya janji untuk mansuh PTPTN dan mengecualikan pinjaman yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan dari membayar tidak menjadi.

“Gaji minima sudah RM1,100. Maksudnya, tiada seorang pun akan dikecualikan,” katanya dalam status di Facebook beliau, hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam membentangkan Belanjawan 2019 berkata, kerajaan akan memperkenal pembayaran balik secara potongan berjadual antara dua dan 15 peratus daripada pendapatan bulanan pinjaman.

Beliau berkata langkah tersebut hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.-MY WD