NAJIB KECEWA POLIS RAMPAS BARANGAN PERIBADI ANAK

NAJIB KECEWA POLIS RAMPAS BARANGAN PERIBADI ANAK

890
0

KUALA LUMPUR,MEI 19: Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pihak polis yang merampas barangan peribadi milik dua anaknya ketika pemeriksaan di Pavilion Residence, Raja Chulan di sini kelmarin.

Peguamnya, Datuk Harpal Singh Grewal berkata, pemeriksaan yang dilakukan di dua unit kondomonium tersebut tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pemeriksaan dilakukan ketika anak perempuannya, Nooryana Najwa tidak berada di kediaman tersebut dan hanya ada pembantu rumah.

“Yang mengecewakan apabila barangan peribadi Nooryana dan Ashman diambil walhal ia tiada kaitan dengan kes 1MDB,” katanya kepada pemberita di Jalan Langgak Duta di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambah Harpal Singh, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan mengambil keterangan bekas Perdana Menteri itu kira-kira pukul 8 pagi pada Selasa ini di kediaman keluarga Najib di Jalan Langgak Duta di sini.

“Bagaimanapun, kita akan maklumkan jika ada perkembangan lagi pada Isnin ini,” ujarnya.- MY WD