KUALA LUMPUR, OKTOBER 11:KOS… Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis mempersoalkan keutamaan kerajaan yang mengambil langkah jimat cermat dengan mengetepikan kos yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Najib mengkritik, jika hanya kerajaan mengambil pendekatan berjimat, di manakah peluang rakyat pula untuk berbuat demikian juga.

“Lama tak dengar cerita Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua.

“Tiba-tiba beliau muncul dengan cadangan bernas suruh rakyat naik Grab ganti Feeder Bus MRT. Jimat katanya,” katanya dalam status Facebooknya.

Beliau menyindir, berkemungkinan peluang untuk rakyat pula berjimat apabila projek kereta nasional ketiga bermula kelak.

“Kalau semua benda nak jimat untuk kerajaan, bilanya rakyat dapat jimat? Oh mungkin bila projek kereta nasional ketiga dah jalan,” bidasnya.

Semalam, Tony berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan bekerjasama dengan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing termasuk Grab sebagai alternatif kepada bas perantara sedia ada untuk pengguna MRT.

Ahli Parlimen Damansara itu mempersoalkan keperluan menyediakan bas perantara ke stesen MRT dalam era wujudnya pengusaha pengangkutan awam yang kini menggunakan teknologi digital dan boleh menawarkan perkhidmatan lebih murah.

“Mengapa perlu sediakan bas perantara kalau kita boleh bekerjasama dengan Grab untuk menghantar dan mengambil penumpang ke stesen MRT?” soalnya.

Tambahnya,pengangkutan awam jenis itu mengenakan harga berpatutan dan lebih murah daripada yang ditawarkan kerajaan dengan menyediakan bas perantara.

Hal demikian, katanya, kerajaan bersedia bekerjasama dengan mereka dalam projek-projek terutamanya infrastruktur.-MY WD