KANGAR, 23 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata beliau komited meneruskan pembangunan di negeri Perlis.

Untuk tujuan itu, katanya, beliau akan memberi peruntukan pembangunan
beberapa projek di negeri ini antaranya Kawasan Perindustrian Lembah Chuping
bernilai RM800 juta dan Perlis Inland Port yang bernilai RM200 juta.

Najib berkata beliau juga telah meluluskan pembinaan Hospital Padang Besar,
serta sebuah sekolah menengah di Kangar dan sebuah sekolah rendah di Padang
Besar.

“Dan yang terbaharu UTC (Pusat Transformasi Bandar) di Kangar akan dibina
dan akan siap pada tahun hadapan. Percayalah komitmen saya untuk parti dan untuk
negara tidak pernah luntur,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian
berkelompok persidangan perwakilan UMNO bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau
di Dewan Wawasan 2020, di sini, hari ini.

Najib berkata walaupun Perlis adalah sebuah negeri yang kecil, tumpuan
terhadap negeri itu tetap ada, termasuk dari segi politik.

“Rekod menang 100 peratus Parlimen. DUN (Dewan Undangan Negeri) kalah dua
(kerusi). Rekod Perlis cemerlang dari segi politik, kena kekalkan,” katanya.

Katanya UMNO Perlis perlu bersatu padu bagi mengekalkan rekod cemerlang itu.

“Saya cuba bentuk pasukan lebih hebat daripada Barcelona, Real Madrid.
Pengerusinya (pengerusi badan perhubungan UMNO negeri) adalah seorang menteri.
Menteri yang berani.

“Pentadbiran kita lantik, seorang PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik) yang
mahir dan boleh terajui kepimpinan Perlis dengan baik. Saya tengok Ketua UMNO
bahagian Padang Besar tak ada jawatan, Datuk Zahidi (Datuk Zahidi Zainul
Abidin) saya lantik jadi pengerusi Risda.

“Hangpa bertiga ni…pakatlah…. Saya dah bagi role (tugas), dah ada semua.
Jangan score gol sendiri, musuhlah menang. Yang penting UMNO menang,” katanya.
-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY