JOHOR BAHRU,5 Dis – Tiba…..Datuk Seri Najib Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, sebentar tadi sempena lawatan rasmi ke Johor selama dua hari, hingga Selasa ini.

Perdana Menteri yang tiba dengan pesawat khas jam 10.35 malam tadi disambut Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pemimpin UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Najib dijadual merasmikan pemasangan kolum proses propylene fractionator tertinggi dan terberat bagi kemudahan pemecah wap untuk Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Pengerang, Kota Tinggi pada jam 10.30 pagi.

Pada sebelah petang, beliau dijadual melancarkan Arena Larkin dan Sport City Seri Austin di kawasan letak kereta Stadium Larkin, di sini.

Projek itu masing-masing akan dibangunkan oleh Johor Corporation dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

Perdana Menteri kemudian dijadualkan menghadiri majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena setahun kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim di Masjid Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor.

Selepas itu, beliau akan menghadiri Program Mesra Bertemu Rakyat di Kilang Bateri Tampoi, di sini, pada jam 9 malam.

Pada Selasa pula, Najib dijadual menyaksikan majlis Menandatangani Inisiatif Strategik dan Pembukaan Rasmi Hotel Phoenix Forest City, Gelang Patah, pada jam 10 pagi sebelum melancarkan Reka Bentuk Pembukaan FASTrack City, di Pinewood Studios di Iskandar Puteri.

Pada jam 2.30 petang, Najib dijadualkan menghadiri jamuan tengah hari Sempena Majlis Ulang Tahun ke-10 Iskandar Malaysia, di Stadium Tertutup Educity serta Pemukiman Khazanah di Hotel Jen Puteri Harbour di Iskandar Puteri.

Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke ibu negara malam Selasa ini. – WD MY