PUTRAJAYA, 29 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
sedang mengadakan lawatan kerja ke Arab Saudi mulai hari ini hingga 3 Mac.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia hari ini, Najib akan
menyampaikan ucaptama berkaitan perkongsian awam-swasta di Forum Ekonomi Jeddah
(JEF) pada 1 Mac.

JEF merupakan hab peneraju bagi pemimpin, ahli ekonomi dan ahli perniagaan
dari seluruh dunia untuk berbincang serta bertukar-tukar pandangan dalam
pelbagai isu utama dunia.

Semasa lawatan itu, perdana menteri dijangka menghadap Raja Salman Abdulaziz
Al-Saud, Putera Mahkota Mohammad Naif Al-Saud dan Timbalan Ketua Mahkota
Mohammed Salman Al-Saud.

“Kesemua pertemuan ini akan membuka peluang kepada para pemimpin berkenaan
untuk membincangkan isu serantau dan dua hala membabitkan kepentingan bersama,”
menurut kenyataan itu.

Kenyataan Kementerian Luar itu menyebut perdana menteri juga dijadual
mengunjungi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ketika ini berpangkalan
di Hafar Al Batin.

Dalam lawatan itu, Najib akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor
selain Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; dan dua Menteri
di Jabatan Perdana Menteri — Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Datuk Seri
Abdul Wahid Omar di samping pegawai kanan kerajaan.

Menurut kenyataan itu, lawatan kerja berkenaan membawa harapan yang baik
dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi yang akan membantu
melonjakkan usaha ke arah mempertingkatkan serta memperkukuhkan lagi hubungan
dua hala serta kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara.

“Malaysia dan Arab Saudi terus menjalin kerjasama rapat dalam pelbagai
bidang utama termasuk politik, ekonomi, pertahanan dan hal ehwal haji,” menurut
kenyataan itu.

Arab Saudi adalah satu daripada rakan dagang terbesar Malaysia di Timur
Tengah dengan import berjumlah RM7.53 bilion dan eksport RM3.42 bilion. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY