KUALA LUMPUR, 24 Sept – Tangani Isu Dan Cabaran…… Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan dua tanggungjawab utama perlu digalas Puteri UMNO dalam menangani pelbagai cabaran dihadapi generasi muda.

Perdana Menteri berkata, tugasan itu selaras dengan matlamat untuk memastikan kejayaan generasi muda khususnya wanita dapat terus dipertingkatkan, sekali gus berjaya membangunkan diri dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

“Saya sebagai Presiden UMNO mahu Puteri UMNO terus berjuang dengan bersungguh-sungguh supaya generasi wanita muda akan menganggap bahawa wadah perjuangan yang paling baik untuk mereka ialah wadah perjuangan dipelopori UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Puteri UMNO perlu menekankan bahawa UMNO dan BN mempunyai agenda yang lebih baik untuk wanita dan negara berbanding pihak di sebelah sana yang hanya memainkan politik kebencian dan memburukkan orang lain.

“Tugasan kedua untuk Puteri UMNO ialah menyediakan generasi wanita muda untuk menghadapi segala cabaran masa akan datang melangkaui soal politik, sebaliknya lebih realistik daripada soal hanya untuk meraih undi daripada golongan itu semata-mata,” katanya ketika berucap di Festival Wanita Muda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Festival Wanita Muda dianjurkan Puteri UMNO bertujuan menghimpunkan wanita muda yang berbilang bangsa dan agama dari seluruh negara.

Objektifnya adalah untuk meneroka potensi diri serta peranan wanita muda dalam mencorakkan kemajuan dan perubahan positif negara, sekali gus dapat menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam diri. – WD MY

LEAVE A REPLY