KUALA LUMPUR, 16 Nov – Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan
ASEAN (ABIS) edisi ke-12 akan menjadi platform utama untuk input sektor swasta
dan perbincangan mengenai isu-isu ekonomi di rantau ini.

Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dalam kenyataannya berkata ABIS
2015, yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 20 dan 21 Nov, akan dilancarkan
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anjuran ASEAN-BAC, program itu juga akan menampilkan ucapan daripada
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Perdana Menteri Jepun Shinz? Abe dan
Perdana Menteri India Narendra Modi.

“Ia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 20 penceramah dari seluruh dunia,
terdiri daripada pemimpin, ahli ekonomi serantau, peserta utama perniagaan dan
pakar-pakar ASEAN lain.

“Beberapa Menteri Ekonomi ASEAN akan membincangkan dan meneliti kemajuan
Komuniti Ekonomi ASEAN,” kata Pengerusi ABIS 2015 Tan Sri Dr Munir Abdul Majid.

Beliau berkata sidang kemuncak perniagaan dan pelaburan itu dijangka menarik
kira-kira 800 peserta mewakili syarikat multinasional, konglomerat dan
perniagaan serantau dari seluruh dunia.

“Kami berbangga untuk menerima pemimpin dan rakan-rakan politik dan ekonomi
global – terutamanya pemimpin dari Amerika Syarikat, Jepun dan India untuk
menyertai kami dalam menandakan kepentingan Komuniti ASEAN yang semakin
meningkat,” kata Munir.

Bertemakan, “Perniagaan untuk Rakyat”, ABIS akan mengadakan perbincangan
mengenai isu-isu integrasi kewangan yang bersifat menyeluruh dalam ekonomi
ASEAN dan isu yang berteraskan rakyat seperti agenda PKS, keusahawanan wanita
dan golongan muda.

“Penekanan terhadap pasca 2015 akan diberikan kepada kepentingan inovasi,
pendigitalan dan pembangunan mampan, dengan mengambilkira impak jangka panjang
kepada proses membina komuniti,” katanya.

ABIS 2015 akan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Perniagaan ASEAN Ke-8,
program mempamerkan kejayaan perniagaan terkemuka sebagai mengiktiraf
kecemerlangan perniagaan serantau.-Sharini Abdulah/Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY