SHAH ALAM, 7 Mac – Tergempar….. Datuk Seri Najib Razak mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Pangkalan Udara Subang di sini, petang ini.

Perdana Menteri disambut Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, setibanya dari Jakarta, Indonesia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Persatuan Negara Pesisir Lautan Hindi (IORA) kira-kira jam 5.40 petang.

Turut kelihatan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali; Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Mesyuarat tergempar diadakan susulan tindakan Pyongyang melarang rakyat Malaysia di Korea Utara meninggalkan negara berkenaan.

Dalam satu kenyataan awal hari ini, Najib meminta kerajaan Korea Utara membebaskan segera semua rakyat Malaysia di negara itu.

Berikutan perkembangan itu, Perdana Menteri mengarahkan Ketua Polis Negara menghalang rakyat Korea Utara meninggalkan Malaysia sehingga kerajaan dapat memastikan keselamatan rakyat negara ini di republik itu. – WD MY