KANGAR, MAC 14 –NAJIB….Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis yang menawarkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung dalam lawatan seharinya ke negeri ini.

UTC Perlis yang terletak di Kampung Sena di sini telah beroperasi sejak 23 Okt tahun lepas dengan menyediakan perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk manfaat rakyat Perlis dan Kedah.

Dalam ucapannya, Najib berkata perasmian UTC ke-19 di negara ini, yang dibina dengan kos RM35.5 juta itu merupakan antara konsep revolusi perkhidmatan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

“Bayangkan, hanya 10 minggu sahaja untuk menyiapkan UTC Perlis ini. Ia satu pencapaian yang cukup membanggakan selain tempatnya yang begitu strategik berdekatan pasar borong dan kawasan lot-lot kedai.”

“Melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), kita gunakan cara yang lebih kreatif dalam menyampaikan perkhidmatan kerajaan. Kita tidak pentingkan output sahaja, tetapi juga hasilnya,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

Jelas perdana menteri, segala usaha kerajaan termasuk penyediaan UTC perlu bersifat inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana individu dalam mengecapi nikmat pembangunan dan segala jenis bantuan kerajaan.

“Kita mesti pastikan bahawa setiap wilayah dan negeri, dari Perlis hingga ke Sabah, adalah merupakan negeri-negeri yang mendapat kesan begitu positif dari segi pembangunan dan sebarang program yang kita lakukan,” tambahnya – MY WD