KUALA LUMPUR, 2 Sept – CAKAP….. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak bercakap benar mengenai Cukai Julai dan Perkhidmatan (SST) yang mula dilaksanakan semalam.

Menerusi Facebook rasminya, ramai tidak menyedari bahawa SST sebenarnya ialah dua jenis cukai berbeza iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang memerlukan dua akta berbeza diluluskan di Parlimen.

“Oleh itu, Lim Guan Eng tidak bercakap benar apabila beliau mengucapkan kepada orang awam bahawa cukai SST hanya dibayar oleh pengilang dan bukan oleh pengguna,” katanya.

Najib berkata, apabila restoran dan isi rumah membeli bahan mentah seperti udang, ketam dan kerang, mereka sudah membayar cukai jualan 10 peratus yang perlu ditanggung oleh pengilang atau pengeluar.

Katanya, restoran dan pembeli isi rumah tidak akan melihat jumlah yang dibayar bagi cukai jualan tetapi terpaksa membayar pada harga yang tinggi.

“Situasi ini akan lebih buruk apabila pengguna makan makanan ini di restoran di mana cukai perkhidmatan terpakai di premis ini.

“Restoran kini perlu membayar cukai jualan ke atas ketam, udang, beberapa jenis sayuran, mentega, keju, perencah dan sos bagi menyediakan makanan mereka.

“Apabila mereka menyediakan hidangan itu bersama minuman dalam botol yang mempunyai cukai jualan, mereka juga akan mengenakan tambahan enam peratus bagi cukai perkhidmatan yang dipapar di resit pelanggan.

“Untuk itu, pelanggan restoran dikenakan cukai dua kali, cukai perkhidmatan enam peratus yang dapat dilihat pada bil dan cukai jualan ke atas makanan dan minuman disediakan namun tidak dipaparkan pada resit,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata begitu juga yang akan berlaku di bengkel kereta and pusat servis apabila alat ganti dan minyak pelincir dikenakan cukai jualan dan ditambah lagi dengan cukai perkhidmatan.

Katanya, sebelum ini pelbagai pihak termasuk beliau sendiri pernah memberi amaran bahawa SST adalah satu cukai bertindih di mana terdapat barangan yang dikenakan cukai berganda.

Ini katanya berbeza dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus yang hanya dicaj sekali.

“Pada masa ini, banyak restoran masih lagi menggunakan bahan mentah yang dibeli sebelum pelaksanaan SST namun selepas ini mereka akan membeli bekalan baharu dengan cukai jualan.

“Dijangkakan harga makanan di restoran akan naik lebih banyak lagi pada hari mendatang berbanding ketika GST berkuatkuasa.

“Orang dari golongan (berpendapatan rendah) B40 juga makan ikan masin, udang, kerang dan ketam, sama ada untuk dimasak di rumah ataupun di restoran. Ia tidak patut dikenakan cukai jualan seperti yang dikecualikan di bawah GST dahulu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk mengecualikan kesemua makanan segar, minuman dan bahan penyediaan makanan dari dikenakan cukai untuk mengelak cukai berganda di restoran selain menghukum golongan B40. – WD MY