KUALA LUMPUR, 18 Nov – Selar…….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini menyelar parti pembangkang di Malaysia yang berselindung di sebalik
sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk menentang kerajaan.
Najib berkata sebagai pihak yang kalah dalam pilihan raya, pembangkang
berhak untuk mengkritik kerajaan tetapi hendaklah menggunakan saluran yang
betul.
“Namun di Malaysia, keadaan berbeza. Parti pembangkang di negara ini
mempergunakan sebuah NGO yang kononnya tidak memihak kepada mana-mana parti
politik dan memerangi rasuah, untuk menekan kerajaan melalui perhimpunan,”
katanya.
Najib berkata demikian dalam ucapan bertajuk ‘Sandiwara Perhimpunan
Pembangkang’ yang dimuat naik di laman www.najibrazak.com hari ini.
Beliau berkata rakyat sedia maklum bahawa NGO itu sebenarnya merupakan
boneka pembangkang, memandangkan hampir kesemua perhimpunan yang telah dan akan
diadakan diketuai pemimpin pembangkang.

“Pada perhimpunan kedua, mereka mengganas di Kuala Lumpur hingga
menterbalikkan kereta polis. Perhimpunan ketiga pula, mereka mendengar arahan
ketuanya merempuh halangan polis sehingga menimbulkan kekecohan.

“Pada edisi keempat pula, mereka bersorak untuk menjatuhkan parti
pemerintah, tetapi memanggil diri mereka non-partisan. Akhir sekali pada
perhimpunan kali kelima ini pula, mereka menjunjung pemimpin pembangkang yang
sudah didakwa melakukan rasuah, padahal mereka kata mahu memerangi rasuah.
“Tidakkah sudah terang lagi bersuluh, bahawa perjuangan mereka adalah palsu
dan perhimpunan ini hanyalah gerakan parti pembangkang yang berselindung sebagai
NGO non-partisan untuk menentang kerajaan yang dipilih rakyat?,” kata Najib.
Menurut Perdana Menteri, majoriti rakyat sudah lali dengan taktik yang
digunakan pembangkang, dan mereka hanya mahukan khidmat bakti daripada kerajaan.
“Itulah yang saya dan pasukan saya akan terus lakukan,” katanya. – WD MY