SHAH ALAM, 1 Okt – Golf Amal….. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini menyertai kejohanan golf amal 50 tahun Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang (PEKAP) di Glenmarie Golf and Country Club di sini.

PEKAP adalah pertubuhan dianggotai anak-anak Pahang yang tinggal di ibu negara serta diluluskan pendaftarannya pada 27 September 1966.

Najib yang tiba pada 7.15 pagi melakukan pukulan tee-off pada kira-kira 8 pagi.

Turut menyertai kejohanan itu ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; dan Yang Dipertua PEKAP, Datuk Hasan Arifin.

Kejohanan melibatkan perlawanan antara pasukan SAS (Sultan Ahmad Shah) menentang pasukan Perdana Menteri itu disertai 120 pemain.

Perlawanan itu dimenangi pasukan SAS yang mengumpul 794 mata manakala pasukan Perdana Menteri mendapat 707 mata.

Selepas acara golf itu selesai, Najib mengiringi Tengku Abdullah untuk majlis santapan tengah hari dan penyampaian hadiah kepada pemenang.

Hasan, dalam ucapannya, berkata kejohanan golf amal itu bertujuan mengumpul dana bagi PEKAP menjalankan kegiatan kebajikan dan pendidikan.

Beliau turut mengumumkan pemberian sumbangan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berjumlah RM50,000 kepada PEKAP dalam melaksanakan aktiviti kebajikannya. – WD MY

LEAVE A REPLY