KUALA LUMPUR, 1 Dis – Teruskan Sokongan……Datuk Seri Najib Razak meminta seluruh ahli parti memberi sokongan dan kerjasama kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

Tanpa menyebut nama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dipecat daripada UMNO pertengahan tahun ini, Presiden UMNO itu berkias, ibarat patah tumbuh hilang berganti.

“Kalau hilang di hujung Pagoh, syukur telah kita jumpa di Bagan Datoh.

“Kita raikan kini, saudara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan kini sebagai Naib Presiden yang menjalankan kerja Timbalan Presiden parti,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden bertema `UMNO Penggerak Transformasi Nasional’ di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pagi.

Perdana Menteri turut bergurindam dalam meniup semangat kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini bersendirian selaku Naib Presiden.

“Jika ada yang sudah beralih arah dan tidak ‘semporna’ lagi, maka ‘se-afdhal-afdhalnya’ yang kita mahukan seorang yang setia dan tidaklah pula bersombong-sombong, Itulah dia Datuk Seri Hishammuddin dari Sembrong,” katanya.

Najib turut melahirkan keyakinan bahawa UMNO Bahagian Pagoh dan UMNO Bahagian Semporna tetap berdiri teguh dan setia dalam mendukung parti serta kerajaan sedia ada.

Beliau turut mengimbau detik kehadirannya di podium dan pentas dewan bersejarah itu yang memasuki tahun ke-13, iaitu lima tahun selaku Timbalan Presiden serta mencecah tahun kelapan menerajui UMNO sebagai Presiden.

“Sesungguhnya, selama itulah, dari benak hati dan sanubari, saya berucap bukan sekadar seorang Presiden Parti atau selaku Perdana Menteri.

“Lebih ulung dan lebih utama dari itu, saya, Najib Razak, adalah seorang Melayu, seorang Islam, seorang Bumiputera dan seorang Anak Malaysia,” katanya sambil disambung laungan perwakilan. – WD MY