PUTRAJAYA, 30 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Britain David Cameron di
pusat pentadbiran negara hari ini, sempena lawatan kerja sehari beliau ke
Malaysia.

Najib yang menyambut Cameron di Dataran Perdana pada pukul 4.45 petang,
bersalaman dengan rakan sejawatannya dan membawa beliau melakukan lawatan
ringkas di sekitar pejabatnya.

Kedua-dua pemimpin kemudian beredar ke pejabat Najib dan Cameron
menandatangani buku pelawat selepas kedua-dua mereka mengadakan pertemuan empat
mata selama 30 minit.

Kedua-dua perdana menteri kemudiannya mengadakan mesyuarat bersama delegasi
kedua-dua negara selama 30 minit.

Delegasi Malaysia terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pertahanan
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris
Jusoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua
Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

United Kingdom pula diwakili Setiausaha Negara bagi Perniagaan, Inovasi dan
Kemahiran Sajid Javid; Menteri Negara bagi Perdagangan dan Pelaburan, Lord
Francis Maude; Menteri Negara bagi Perolehan Pertahanan, Philip Dunne; Utusan
Khas ASEAN Richard Graham dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Victoria
Marguerite Treadell.

Perdana Menteri Britain itu dalam rangka lawatan kerja sehari ke Malaysia
sebagai sebahagian daripada lawatannya ke empat negara Asia Tenggara iaitu
Indonesia, Singapura, Vietnam dan Malaysia bagi menggalakkan perdagangan dan
pelaburan United Kingdom.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam berkata lawatan Cameron
memperlihatkan hubungan rapat dan mesra antara Malaysia dan United Kingdom.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala
termasuk bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pertahanan serta
kerjasama dalam rangka kerja Komanwel dan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Cameron ialah Perdana Menteri Britain pertama yang melawat Malaysia dalam
dua penggal berturut-turut. Lawatan pertamanya pada April 2012. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY