BINTULU, 16 Sept – Selamat Tiba……Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Lapangan Terbang Bintulu, di sini, bagi menghadiri Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2016 malam ini.

Ini adalah kali kedua Bintulu menjadi tuan rumah Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan selepas 2012 yang disifatkan simbolik meraikan ulang tahun ke-53 penubuhan negara ini, membabitkan penyertaan Sabah dan Sarawak.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut dijadual menandatangani buku khas bersempena sambutan berkenaan.

Selain Najib, kenamaan lain yang turut menghadiri sambutan malam ini ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Malah, ketiga-tiga turut dijangka mengadakan pertemuan tertutup, khusus bagi membincangkan hala tuju dan masa depan kedua-dua negeri terbabit sepanjang penyertaannya dalam penubuhan Malaysia.

Dalam konteks Sarawak, perbincangan dijangka bertumpu kepada usaha memperkukuhkan proses pengagihan kuasa pentadbiran yang diusahakan Najib dan Adenan sejak setahun lalu.

Ia merujuk kepada hak dan keistimewaan yang dijanjikan kepada Sarawak dalam Perjanjian Malaysia, Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) ketika negeri ini bersetuju menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. – WD MY

LEAVE A REPLY