KUALA LUMPUR, 9 Sept – HAKIM….. Najib Razak tidak menyatakan penyesalan selepas beliau didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, bekas perdana menteri itu malah mempertahankan beliau tidak tahu mengenai RM42 juta itu, dalam mitigasinya.

Pada 28 Julai, Nazlan membenarkan Najib sendiri berhujah di mahkamah selepas sesi peguam belanya, Muhammad Shafee Abdullah.

Najib, dalam mitigasinya berkata beliau tidak pernah meminta RM42 juta, tidak pernah merancangnya, dan juga tidak pernah ditawarkan kepadanya.

“Beliau juga menyatakan tidak tahu mengenai RM42 juta itu,” kata Nazlan dalam penghakiman bertulisnya yang terbit semalam.

Nazlan tidak dapat menafikan sumbangan Najib kepada kesejahteraan dan pembangunan rakyat, mungkin dengan pelbagai cara, sepanjang 9 tahun menjadi perdana menteri.

“Dalam sejarah politik, sama ada beliau lebih banyak melakukan kebaikan berbanding kerosakan akan terus diperdebatkan, tetapi proses itu tidak sesuai dengan ideal pentadbiran yang bersih dan tidak bertolak ansur dengan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Katanya lagi, persoalan sama ada kompas moral bangsa perlu dinilai semula juga perlu dibincangkan dalam perbincangan berasingan.

“Apa yang mahkamah mahu tegakkan adalah kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

“Tidak ada seorang pun – bahkan tokoh politik paling berkuasa dan pemimpin negara – kebal undang-undang,” katanya.

Nazlan berkata, pensabitan Najib atas semua 7 tuduhan salah guna kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang adalah pengkhianatan mutlak.

Atas sebab itu, katanya, beliau menganggap pensabitan salah guna kedudukan bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai kesalahan paling serius antara ketiga-tiga kesalahan itu memandangkan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika kesalahan itu dilakukan.

Nazlan berkata, semua kesalahan yang disabitkan secara jelas melibatkan perancangan dan pertimbangan dalam tempoh masa tertentu.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana penyalahgunaan kuasa dan 10 tahun bagi setiap 3 tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang.

Bagaimanapun, hakim mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak, bermakna Najib hanya dipenjarakan 12 tahun.

Nazlan membenarkan permohonan pasukan pembelaan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara memandangkan jumlah tinggi denda yang dikenakan.

Najib mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan sementara pihak pendakwaan membuat rayuan balas atas alasan hukuman tidak memadai. – WD MY