SERDANG, 7 Nov – Kepimpinan baharu MIC tidak boleh mengamalkan
politik kasta jika mahukan perubahan sebenar yang besar dalam parti, kata Datuk
Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri berkata setiap calon yang tewas pada pemilihan semula parti
itu masih berperanan dalam membantu MIC melakukan proses transformasi ke arah
matlamat utama Barisan Nasional (BN), iaitu memenangi pilihan raya umum.

“Jangan tolak mereka (yang kalah) kerana mereka tidak masuk dalam kem kita
atau kasta kita …Kita mesti menerima mereka kerana kita mahu memandang ke
hadapan dan mereka ini adalah pemimpin masyarakat India.

“JIka anda tidak menerima mana-mana dari mereka, maka anda tidak boleh
menyalahkan orang lain jika anda tidak diterima…sebab itu MIC tak boleh
amalkan kasta politik lagi,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC di
Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) semalam.

Beliau berkata penyertaan dalam MIC juga kini semakin membesar, justeru
parti itu harus mencerminkan aspirasi dan kehendak masyarakat India secara
keseluruhan.

Kepimpinan baharu MIC mesti mencerminkan tadbir urus yang baik
dan amalan yang adil serta berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran calon
yang kalah ke dalam parti.

“Kita nak menang bukan kerana kuasa…tetapi kuasa itu perlu kalau kita nak
ubah nasib komuniti kita, kumpulan etnik, rakyat dan negara secara
keseluruhannya.

“Saya nak tekankan hari ini bukan sahaja sambut perubahan dalam kepimpinan
MIC daripada presiden sampai peringkat akar umbi, tapi apa yang saya inginkan
ialah perubahan sebenar bukan perubahan kosmetik atau personaliti sahaja,”
katanya.

Najib, yang juga pengerusi BN, berkata parti itu perlu melupakan kisah lama
dan berusaha menyatupadukan semua ahli agar ia menjadi lebih kuat dan BN lebih
disegani.

Beliau memuji MIC kerana melangsungkan pemilihan semula parti dalam suasana
tenteram dan dengan tiada sebarang pertikaian terhadap keputusan pemilihan.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY