PEKAN, 9 Mei – MANDAT……. Datuk Seri Najib Razak yakin Barisan Nasional (BN) akan terus diberi mandat bagi mentadbir negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, berkata keyakinan itu berdasarkan kejayaan dasar diperkenalkan dan dilaksanakan sejak lima tahun lalu yang terbukti berjaya memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

“Bagi tempoh lima tahun akan datang, kita sudah membentangkan manifesto komprehensif yang memberi tumpuan kepada usaha memacu pembangunan negara dan mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Berdasarkan fakta itu, Insya-Allah, saya percaya dan yakin rakyat akan memberi undi kepada BN,” katanya kepada media selepas mengundi di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.

Najib yang juga penyandang Parlimen Pekan, berkata beliau percaya pengundi tidak akan mengundi berdasarkan fitnah atau pertimbangan emosi semata-mata.

Mengenai perjalanan proses pilihan raya kali ini, Presiden UMNO itu berkata, ia berlangsung dalam keadaan tenang dan terkawal, walaupun dicemari isu serangan peribadi yang tidak mencerminkan amalan demokrasi sebenar.

Katanya, perkara lebih penting ialah pengundi boleh menunaikan tanggungjawab mereka untuk menentukan masa depan negara.

NAJIB membantu ibunya, Tun Rahah untuk mengundi di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan

Terdahulu, Najib ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, di sini jam 9.20 pagi, untuk mengundi di sekolah itu.

Turut mengundi di sekolah berkenaan ialah ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohd Noah serta adik beliau yang juga Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak.

Kerusi Parlimen yang disandang Najib sejak tahun 1976, menyaksikan pertembungan empat penjuru. Najib dicabar calon PAS, Kapten (B) Athiatudin Daud; Mohamad Zahid Md Arip (PKR) dan Datuk Paduka Abd Kadir Sainuddin (BEBAS).- WD MY