PUTRAJAYA, 3 Ogos – Semangat setiakawan, itu ungkapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
yang yakin kewibawaan Timbalan Perdana Menteri yang baharu iaitu Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi serta dapat membantu beliau dan anggota Kabinet yang lain dalam menggalas
tanggungjawab bagi memenuhi kehendak rakyat dalam ikatan.

“Saya percaya di atas kewibawaan beliau dapat membantu saya dan
anggota-anggota Kabinet yang lain dalam satu jaringan dan ikatan yang kukuh
dan semangat kesetiakawanan yang jitu untuk menggalas tanggungjawab dan amanah
berat iaitu memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengalu-alukan kehadiran pertama Ahmad Zahid
pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilantik sebagai timbalan
perdana menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam rombakan Kabinet
yang diumumkan pada 28 Julai.

Ahmad Zahid yang tiba pada pukul 8.05 pagi kelihatan bersalaman dengan para
menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri dan menyambut ketibaan Najib sebelum
perhimpunan bermula.

Turut hadir buat pertama kali ke perhimpunan bulanan itu setelah dilantik di
bawah portfolio JPM ialah Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Menteri dan
Senator Datuk Asyraf Wajdi Dusuki selaku Timbalan Menteri.

Kini terdapat 11 orang menteri di bawah JPM iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom,
Senator Datuk Seri Idris Jala, Tan Sri Joseph Kurup, Datuk Joseph Entulu Belaun,
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Senator Paul Low Seng Kuan, Nancy Shukri,
Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Datuk Wee Ka Siong, Datuk Mah Siew
Keong dan Azalina. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY