KUALA LUMPUR,OGOS 5: BAKAT…. Penyanyi, Siti Nordiana Alias, menganggap pembabitannya dalam program realiti, Mentor musim ketujuh (Mentor 7) mentor menjadi landasan untuk dia mencari bakat baharu bernaung di bawah syarikat pengurusannya.

Katanya, syarikat SND Soul yang ditubuhkan sejak mula menerbitkan lagu, Terus Mencintai, tahun lalu, diharap dapat berkembang dan mempunyai penyanyi pelapis.

“SND Soul sudah dibangunkan sejak tahun lalu dan sebagai permulaan, saya menerbitkan sendiri lagu yang dinyanyikan. Buat masa ini, hanya saya yang bernaung di bawah syarikat ini, namun saya mempunyai perancangan jangka panjang untuk mengembangkannya.

“Saya kini dalam proses mencari anak didik yang boleh digilap sebagai penyanyi, selain menguruskan beberapa artis lain dan menghasilkan lagu untuk mereka.

“Kiranya, penyertaan dalam Mentor 7 adalah sebagai pembuka laluan untuk misi pencarian ini kerana sampai bila SND Soul hendak bersandarkan pada saya seorang?” katanya pada sidang media program realiti berkenaan.

Selain Siti Nordiana, program yang bakal memulakan pencarian protege di Sabah dan Sri Pentas, Bandar Utama, bermula 8 Ogos ini turut membariskan Datuk Syafinaz Selamat, Aizat Amdan dan Hafiz Suip sebagai mentor.

Sesi uji bakat akan bermula di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, disusuli Sri Pentas pada 8 dan 9 September depan membabitkan pencarian protege Syafinaz, diikuti Aizat (15 dan 16 September), Hafiz (22 dan 23 September) dan Siti Nordiana (29 dan 30 September).

Ditanya mengenai keinginannya mencari protege berstatus solo, Siti Nordiana yang selesa disapa Nana memaklumkan, syarat itu diberikan bersandarkan pengalaman sendiri.

“Bukan saya tidak sukakan mereka yang sudah berkahwin. Jika dia bagus dan boleh memberikan sepenuh komitmen, kenapa tidak? Sebagai penyanyi yang memulakan kerjaya sejak sekolah lagi, saya sudah melalui banyak peralihan.

“Daripada fasa solo, berkahwin dan kemudian menjadi ibu tunggal, semua laluan sudah saya jalani. Tidak mudah menyusun masa apabila sudah berumahtangga, namun jika disertakan dengan semangat, ia dapat melancarkan urusan.

“Cuma, kalau rasa dia mampu memenuhi segala syarat dan paling penting memiliki vokal serta mahu belajar, silakan datang ke uji bakat nanti,” katanya.-MY WD